NEW YORK/BEIRUT/BAITULMAQDIS: Ketua tentera Israel mendedahkan bahawa pihaknya kini bersiap siaga untuk kemungkinan melakukan serangan darat di Lubnan selepas melancarkan bedilan bertubi-tubi dari udara.
“Anda mendengar deruan jet pejuang di ruang udara, kita telah melancarkan serangan sepanjang hari.
“Ia adalah langkah mempersediakan keadaan di darat untuk kemungkinan anda memasukinya dan terus memerangi Hizbullah,” kata Jeneral Herzi Halevi kepada tentera Israel di kawasan bersempadan dengan Lubnan, menurut satu kenyataan pihak tentera itu.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis giat mengusahakan gencatan senjata 21 hari dalam menangani konflik semakin meruncing antara Israel dengan Hizbullah yang semakin dikhuatiri mencetuskan peperangan lebih meluas di Asia Barat.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata Paris dan Washington akan memberi perincian usul mereka berhubung gencatan senjata sementara di Lubnan itu dalam masa terdekat.
“Kami berharap kedua-dua pihak terbabit menerimanya tanpa bertangguh, demi melindungi orang awam dan membolehkan rundingan diplomatik bermula,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), lewat semalam.
Barrot dijadualkan berlepas ke Lubnan, minggu ini. Pegawai AS pula memaklumkan bahawa mereka berkemungkinan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu nanti.
Semalam, Israel memperluas serangan udara di Lubnan sehingga menyebabkan sekurang-kurang 72 mangsa terkorban, menurut kompilasi Reuters berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan. Terdahulu, kementerian itu menyatakan sekurang-kurang 223 mangsa mengalami kecederaan.
Timbalan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Robert Wood pula memberitahu UNSC bahawa Washington sedang bekerjasama dengan negara lain untuk membendung peningkatan ketegangan dalam konflik itu.
Selain itu, ia bagi membolehkan rakyat di Lubnan dan Israel yang terkesan untuk pulang semula ke kediaman masing-masing, serta membuka laluan perbincangan bagi penyelesaian diplomatik yang lebih meluas.
Bercakap kepada pemberita sebelum mesyuarat UNSC, Duta Israel ke PBB, Danny Danon pula mendakwa bahawa Israel akan mengalu-alukan gencatan senjata dan jalan penyelesaian secara diplomatik.
Namun sekiranya langkah diplomasi gagal, katanya, Israel akan menggunakan segala cara yang ada untuk mencapai matlamat disasarkan.
Danon turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadualkan tiba di New York, hari ini, dan berucap pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), esok.
Sementara itu Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi ketika ditemui pemberita sebelum mesyuarat UNSC, menegaskan Tehran menyokong Hizbullah dan akan kekal dengan pendirian terbabit sekiranya keadaan konflik di Lubnan semakin buruk.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula menekankan bahawa ‘perang habis-habisan’ mesti dielakkan sama sekali.
“Marilah kita menyatakan dalam satu suara yang jelas, hentikan pembunuhan dan pemusnahan. Tolak retorik dan ugutan. Berundur dari ‘tebing’ itu,” katanya kepada UNSC.
Dalam pada itu, Russia turut menggesa supaya pertempuran di Lubnan dihentikan segera. – REUTERS