Empat isteri, tiga anak Ahli Lembaga Pengarah GISBH direman tujuh hari

SHAH ALAM: Empat isteri dan tiga anak seorang Ahli Lembaga Pengarah GISB Holdings (GISBH) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman sehingga Jumaat ini dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Peguam, Rosli Kamaruddin, berkata individu itu terdiri daripada enam wanita termasuk warga asing dan seorang lelaki berusia 18 hingga 55 tahun.

“Semua mereka termasuk empat isteri Ahli Lembaga Pengarah itu ditahan sepasukan anggota polis di sekitar Rawang malam tadi.

“Mereka dibenarkan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Oktober,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terdahulu, semua individu terbabit tiba dengan menaiki van polis dengan dikawal ketat oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira jam 9.30 pagi.

Mereka dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sementara itu, di mahkamah sama, 10 individu yang mempunyai kaitan dengan GISBH dilanjutkan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman antara empat hingga tujuh hari itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid terhadap lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 53 tahun.

Peguam Shalehuddin Salam berkata, semua 10 individu itu direman selama seminggu sebelum ini dan tempohnya tamat hari ini.

“Tempoh reman mereka disambung lagi sehingga 5 Oktober depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Semua individu berpakaian lokap jingga itu tiba dengan menaiki trak polis dikawal ketat anggota dan pegawai JSJ kira-kira jam 9.35 pagi.

Mereka dibawa untuk tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

Sebelum ini, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan terbaru daripada individu yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, mereka yang berusia 14 tahun hingga 20-an itu membabitkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor, Sarawak dan Kedah.