Kemenangan besar petanda pengundi mahu kerajaan diberi peluang tumpu pembangunan ekonomi – Anwar

MIRI: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini, adalah petanda masyarakat di kawasan itu mahu Kerajaan Perpaduan diberi peluang memfokus perhatian membangunkan ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kemenangan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, dengan majoriti besar 20,648 undi adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

“Tidak siapa yang jangka kemenangan BN di pihak Kerajaan Perpaduan dengan majoriti 20,000 lebih.

“Saya percaya ini petanda masyarakat kalau pengundi di situ, Melayu Cina India sudah punyai pandangan bahawa berilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menumpukan perhatian dalam bidang ekonomi, angkat darjat negara dan rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Negeri di sini, malam ini, sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak. Yang turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Pada PRK kali ini, Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya, Mohamad Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang sekadar meraih 7,347 undi.

Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim

Azurawati turut memaklumkan sebanyak 339 kertas undi ditolak, selain 24 tidak dikembalikan.

Sementara itu dalam hantaran melalui Facebook pula, Anwar berkata, kemenangan besar berkenaan adalah bukti masyarakat DUN Mahkota yakin terhadap keberkesanan muafakat Kerajaan Perpaduan antara pusat dengan Johor yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Ia juga petanda jelas bahawa rakyat terus yakin dengan kerangka dasar dan polisi kerajaan yang menitikberatkan soal ekonomi serta taraf hidup rakyat keseluruhannya.

“Tahniah kepada saudara Syed Hussien Syed Abdullah dan BN atas kejayaan luar biasa dalam mempertahankan kerusi DUN Mahkota,” katanya. – BERNAMA