KUANTAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Ekonomi diminta memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur yang dilaksanakan.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini sudah membuat permohonan supaya kemudahan itu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.
“Meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, kerajaan negeri berharap KKR dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Rosdy dalam pada itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang membabitkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.
Menurutnya, pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 itu memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat iaitu Bentong, Raub dan Lipis menuju ke Kelantan.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pentingnya Pakej 6 iaitu laluan Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) – Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.
“Sehingga kini empat laluan di sepanjang LTU telah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan – Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara – Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus setakat ini.
“Semoga projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual dan saya sekali lagi berharap agar pembinaan R&R ini dapat diteruskan juga untuk keselesaan pengguna,” katanya.