Prabowo dilapor akan kekalkan Sri Mulyani sebagai Menteri Kewangan

JAKARTA: Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, dilapor sedang mempertimbang untuk menawarkan jawatan dalam Kabinet kepada Menteri Kewangan semasa, Sri Mulyani Indrawati, dakwa sumber.

Sumber yang enggan dikenali itu mendakwa Sri Mulyani, bekas pengarah pengurusan Bank Dunia diminta untuk kekal sebagai menteri kewangan atau menjadi menteri koordinator hal ehwal ekonomi.

Ini kerana keyakinan tinggi pasaran kewangan terhadap sosok wanita itu.

“Perlu ada nama yang mempunyai reputasi antarabangsa dalam Kabinet (Prabowo),” kata sumber.

Sri Mulyani adalah antara beberapa nama yang masih dipertimbang Prabowo sebagai ketua kewangannya, demikian menurut sumber kedua.

Berikutan itu, wakil Sri Mulyani mahupun Prabowo tidak memberi sebarang reaksi terhadap spekulasi itu.

Kementerian Kewangan juga menolak untuk memberi komen.

Spekulasi siapa akan menjadi menteri kewangan dalam pentadbiran Prabowo semakin hangat diperkatakan, setelah Presiden Terpilih Indonesia itu pada awal tahun ini, ada menyuarakan rancangannya untuk mengambil lebih banyak hutang.

Rancangan itu sekali gus membuatkan pasaran bon dan matawang tempatan dalam keadaan tegang.

Bercakap pada forum ekonomi minggu lalu, Prabowo memberitahu beliau akan mengekalkan ramai menteri yang berkemampuan dari Kabinet Presiden Indonesia sebelum ini, Joko Widodo.

Bagaimanapun, dalam forum itu, Prabowo tidak menyebut nama menteri berkenaan secara terperinci. – REUTERS