Tiga nelayan terpaksa bakar kain buruk elak dilanggar kapal

CHUKAI: “Selepas pelbagai ikhtiar dilakukan menemui kegagalan, saya nekad mengambil keputusan melepaskan suar kecemasan.

“Syukur pada tuhan, tindakan saya itu dapat dilihat sebuah bot nelayan lain sebelum datang memberi bantuan,” kata tekong bot, Mokhtar Yusoff.

Mokhtar bersama anaknya, Mohd Shukri, 46, serta adiknya, Mohd Nasir Yusof, 46, bersyukur selepas berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan lain pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika utara Kuala Kemaman dalam perairan Kuantan, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Semalam, dilaporkan Mokhtar bersama anak dan adiknya hilang selepas keluar mencandat sotong di perairan Kemaman.

Mokhtar, 69, berkata dia keluar memancing pada Ahad lalu kira-kira jam 2 petang dan akan pulang semula ke darat pada Selasa.

“Ketika bersiap untuk bertolak pulang, tiba-tiba enjin bot gagal dihidupkan. Bila saya periksa saya dapati bateri mengalami kerosakan.

“Ketika itu, kami sangat buntu meminta bantuan memandangkan kawasan perairan itu tidak mempunyai liputan talian komunikasi,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Kemaman, petang tadi.

Katanya, sepanjang berlabuh di kawasan itu, dia menemui beberapa buah bot nelayan lain, namun gagal mendapatkan bantuan.

“Kami melambai meminta bantuan, mungkin kedudukan kami yang jauh menyebabkan mereka tidak nampak kami.

“Kerosakan bateri bukan saja menyebabkan enjin gagal dihidupkan malah kesemua lampu bot tidak dapat dinyalakan, ” katanya.

Bercerita lanjut, katanya, sepanjang dua malam berada di tengah laut, mereka terserempak empat buah kapal dagang kerana lokasi itu adalah laluan utama kapal besar.

“Sepanjang dua malam itu, kami empat kali terserempak dengan kapal besar dan kami terpaksa membakar kain buruk sebagai isyarat supaya bot tidak dilanggar.

“Bot juga mengalami kebocoran dan kami bertiga tidak dapat tidur kerana terpaksa bergilir-gilir menimba air yang memasuki bot,” katanya.

Beliau berkata, lebih malang bekalan gas memasak serta barangan makanan yang dibawa semuanya habis.

“Kami mengunakan kulit kayu bot yang dikumpul dan dibakar untuk memasak mee segera sebagai menghalas perut.

“Kami semua bersyukur selepas ditemui bot nelayan terbabit yang memberi makanan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, isteri Mokhtar, Zawiyah Talib, 64, berkata, dia bersyukur selepas kesemua mangsa termasuk suaminya itu selamat.

Katanya, dia dan keluarganya mengadakan solat hajat memohon agar suami, anak dan adik iparnya diselamatkan.

“Saya sangat bimbang apabila terkenangkan kejadian bot dilanggar tongkang Ogos lalu yang sehingga kini dua mangsa masih belum ditemui.

“Saya bimbang perkara sama berlaku kepada mereka bertiga. Suami ada bagitahu nak balik pada Selasa, tapi kelibatnya tidak kelihatan menyebabkan saya risau lebih lagi suami hanya bawa beras sekilogram dan lima bungkus mee segera,” katanya.

Bercerita lanjut, katanya suaminya itu juga sejak kebelakangan ini tidak sihat dan keadaan itu menambahkan kebimbangan kepadanya sebelum mengarahkan anak segera membuat laporan di balai polis.

“Syukur pada tuhan bila pagi tadi rakan suami memaklumkan suami ditemui selamat dan saya terus segera menghubungi Maritim Kemaman memaklumkan penemuan itu,” katanya.