MUNICH: Harry Kane meledak dua gol dan mencipta satu lagi ketika Bayern Munich melonjak tiga mata di puncak Bundesliga Jerman dengan kemenangan 3-0 ke atas Union Berlin, lewat malam tadi.
Kapten England itu meletakkan Bayern di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-15 selepas pemain Union, Benedict Hollerbach menjatuhkan Michael Olise di penjuru kotak penalti.
Kane mengumpan gol kedua sejurus sebelum rehat, menampan bola ke kaki Kingsley Coman dengan penyerang Perancis itu merembat kencang melepasi penjaga gol Union, Frederik Ronnow.
Kane menambah gol ketiga selepas 51 minit, meluru menyambut bola muntah di depan rakan sepasukan Jamal Musiala untuk melengkapkan jaringan keduanya.
Di sebalik dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara di tangan Aston Villa dan Barcelona, Bayern kini menjaringkan 16 gol tanpa balas dalam empat perlawanan terakhir menentang kelab Jerman.
“Kami tidak memulakan Liga Juara-Juara dengan baik, jadi kini tekanan adalah bagi setiap perlawanan Liga Juara-Juara berikutnya,” kata Kane.
“Saya fikir jika kami menggunakan keyakinan yang kami miliki dalam beberapa perlawanan terakhir, kami boleh mencetus banyak masalah kepada mana-mana pasukan.
“Perjalanan kempen kami masih jauh, tetapi kami mempunyai mentaliti dan sikap yang tepat,” kata Kane kepada Sky.
“Jika kami berterusan begini, segala-galanya akan OK – kami berada dalam keadaan yang bagus.”
Borussia Dortmund meraih kemenangan 2-1 di laman sendiri ke atas RB Leipzig sekali gus mengendurkan tekanan buat jurulatih yang tertekan Nuri Sahin. – AFP