Video tular: Lelaki dipukul sekumpulan individu, dakwa punca kemalangan 7 kenderaan

BAGAN SERAI – Seorang lelaki dipukul sekumpulan individu selepas kereta dipandu telah menyebabkan kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Kilometer (km) 110, Jalan-Ipoh Butterworth dekat sini pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Juna Yusoff berkata, pihaknya telah terkesan dengan satu video tular di media sosial yang memaparkan insiden itu ekoran daripada kemalangan berkenaan.

Katanya, susulan itu pihak polis telah merakam percakapan seorang lelaki berusia 52 tahun bagi membantu siasatan kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan tersebut.

“Hasil daripada siasatan polis, mangsa adalah pemandu kereta yang menyebabkan kemalangan itu.

“Lelaki itu tidak mahu membuat laporan polis berkaitan insiden dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana tidak mengalami sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun mangsa telah membuat laporan berkaitan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Juna, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan kemalangan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat itu pukul 12.15 tengah malam.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan lima kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal.

Tambah beliau, kesemua kenderaan itu telah memberhentikan kenderaan masing-masing di lokasi kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Kemudian sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 52 tahun itu (tiba di lokasi sebelum) merempuh bahagian belakang sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan.

“Pelanggaran mengakibatkan Proton Wira itu kemudian melanggar kenderaan lain yang berada di lorong kanan dan tengah di hadapannya.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan kesemua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis berkaitan dengan kemalangan jalan raya itu,” jelasnya.

Justeru Juna berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat di talian 05-7210 539 bagi membantu siasatan.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Ekoran daripada insiden lelaki dipukul yang menyebabkan kemalangan, pihak polis menasihatkan agar masyarakat untuk tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang melampaui undang-undang.

“Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu dan mematuhi segala peraturan jalan raya,” tambah Juna.

Terdahulu tular di media sosial beberapa video yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki lain selepas didakwa menjadi punca kepada kemalangan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat. – MalaysiaGazette

Source :