Karya ‘Pisang Ditampal pada Dinding’ dijual pada harga AS$6.2 juta

KUALA LUMPUR- Sebiji pisang segar yang ditampal pada dinding- sebuah karya provokatif seorang artis Itali, Maurizio Cattelan dijual pada harga AS$6.2 juta (RM27.68 juta) kepada seorang usahawan kripto semasa lelongan di New York.

Perkara itu diumumkan Sotheby’s dalam satu kenyataan.

Pembelinya, seorang lelaki kelahiran China, Justin Sun, pada Rabu, membayar lebih enam juta dolar untuk membeli karya yang terdiri daripada sebiji pisang segar dan pita pelekat berwarna perak yang mana ia dijual pada harga AS$120,000 lima tahun lalu.

“Ini bukan sekadar karya seni. Ia mewakili fenomena budaya yang menjadi jambatan kepada seni, meme dan komuniti matawang kripto.

“Saya percaya karya ini akan memberi mencetuskan lebih banyak pendapat dan perbincangan pada masa depan dan ia akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Justin seperti yang dipetik di dalam kenyataan dikeluarkan Sotheby’s.

Penjualan itu melibatkan tujuh pembeli berpotensi yang mana Sotheby’s menetapkan garis panduan harga sebanyak AS$1 juta-AS$1.5 juta sebelum bidaan.

Disebabkan pisang berkenaan bakal rosak, Justin pada dasarnya membeli sekeping sijil pengesahan keaslian hasil karya Cattelan selain cara-cara untuk menggantikan buah berkenaan apabila telah rosak.- AFP

Source :