KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu beransur pulih dengan hanya tiga daerah masih membuka pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 250 mangsa daripada 54 keluarga, setakat jam 8 malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, tiga daerah terbabit ialah Dungun, Marang dan Hulu Terengganu yang membuka tujuh PPS.
Banjir di daerah Besut pulih sepenuhnya dengan PPS Balai Raya Kampung Pantai sudah ditutup selepas jam 6 petang tadi.
Di Dungun, dua PPS masih dibuka ialah PPS Balai Raya Alor Mak Bah yang menempatkan 10 mangsa (dua keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah (27 mangsa/tujuh keluarga).
Di Marang, empat PPS beroperasi membabitkan SK Simpang Rawai (83 mangsa/23 keluarga), Dewan Sivik Wakaf Tapai (20 mangsa/enam keluarga), Dewan Sivik Merchang (lapan mangsa/dua keluarga) dan SK Pengkalan Berangan (81 mangsa/enam keluarga).
Di Hulu Terengganu pula, 21 mangsa (lapan keluarga) masih berlindung di PPS Masjid Taman Hadhari, Tok Randok.