Bayi cedera, bapa elak babi melintas

ALOR GAJAH – Seorang bayi lelaki cedera manakala wanita parah selepas kereta dipandu bapa bayi berkenaan terbabas akibat dipercayai mengelak babi melintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Rembia di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu turut mengakibatkan pemandu cedera di bahu dan seorang lagi anak lelakinya berusia empat tahun bengkak di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian, kereta jenis Nissan Almeera dipandu lelaki berusia 28 tahun itu, dalam perjalanan dari arah Rembia ke Paya Rumput untuk menghantar wanita itu pulang ke rumahnya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca ketika mangsa cuba mengelak babi melintas di lorong kanan jalan dengan mengelak ke kiri.

“Akibatnya, kereta berkenaan terbabas ke lorong kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam cerun menyebabkan penumpang hadapan wanita berusia 38 tahun patah tulang pinggul dan tengkuk.

“Bayi lelaki berusia dua tahun serta budak lelaki, 4 tahun cedera dan bengkak di kepala selain pemandu turut cedera di bahu kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette

Source :