KUALA LUMPUR: Rangkaian restoran popular, Dolly Dim Sum kini sudah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM, baru-baru ini.
Pengiktirafan terbabit memberi nilai tambah kepada restoran yang menyajikan makanan Cina itu dengan penggemarnya kini boleh menikmati pelbagai menu disediakan tanpa ragu-ragu.
Eksekutif Halal Dolly Dim Sum, Mohd Hanif Salleh, berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen syarikat menyediakan makanan berkualiti serta pengalaman menjamu selera luar biasa kepada semua pelanggan termasuk dalam aspek halal.
“Orang ramai tidak perlu ragu-ragu menjamu selera di Dolly Dim Sum.
“Di Dolly Dim Sum kami sentiasa berusaha untuk mencapai yang terbaik di samping menghormati bangsa serta budaya unik dan pelbagai di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberi jaminan, produk restoran itu sentiasa menepati piawaian JAKIM dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mohd Hanif berkata, Dolly Dim Sum melalui proses yang ketat dalam memperoleh sijil halal seterusnya bagi melindungi pengguna baik daripada segi kesahihan halal dan kebersihan makanan.
Dolly Dim Sum mempunyai 13 cawangan iaitu 11 di sekitar Lembah Klang manakala masing-masing satu di Johor Bahru, Johor dan Kuantan, Pahang.
Selain pelbagai jenis dim sum yang menjadi ‘signature’ atau menu istimewanya, restoran itu juga terkenal dengan hidangan menyelerakan seperti egg custard bun, siew mai dumpling, har gao dumpling, royal golden fried rice dan crispy egg noodles.