Pemerkasaan OKU langkah penting ke arah masyarakat inklusif

Rozbizah berkata kekurangan kemudahan awam mesra OKU dan pengangkutan awam yang tidak inklusif menjadi halangan utama kepada mobiliti mereka. – Foto JKM/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah satu langkah penting ke arah mewujudkan masyarakat yang inklusif di negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datin Dr Rozbizah Abd Aziz.

Beliau berkata setiap individu, tanpa mengira kekurangan fizikal, mental atau deria, perlu diberikan peluang lebih besar untuk menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Rozbizah berkata OKU harus diberikan peluang untuk terlibat dalam politik dan kepimpinan negara supaya mereka boleh menyuarakan isu-isu yang dihadapi OKU serta memperjuangkan hak-hak mereka dalam pembuatan dasar.

“Sektor swasta dan keusahawanan pula akan memberi peluang kerjaya dan keusahawanan apabila dibuka luas kepada OKU.

“Dengan adanya sokongan seperti latihan kemahiran, akses kepada pembiayaan dan promosi inklusif dalam tempat kerja, OKU boleh menjadi usahawan atau pemimpin dalam industri yang mereka ceburi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata golongan OKU juga boleh memperkasakan diri dalam bidang sukan dan seni seperti kejayaan dipamerkan atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli yang menjadi inspirasi kepada OKU untuk menggapai kecemerlangan dalam bidang itu.

Rozbizah berkata selain Ziyad, kisah kejayaan beberapa individu OKU seperti Datuk Dr Ras Adiba Radzi yang pernah berkhidmat sebagai Senator serta ikon dunia keusahawanan Faizal Ismail, membuktikan mereka mampu berjaya setanding dengan individu normal.

Dalam memperkasa golongan OKU, Rozbizah berkata beberapa cabaran besar perlu diatasi antaranya berhubung stigma sosial dengan masyarakat sering menganggap mereka sebagai tidak berdaya sehingga menyebabkan golongan itu sukar mendapat peluang untuk berkembang dalam masyarakat.

Beliau berkata masih ramai OKU tidak menyedari hak-hak mereka yang telah dilindungi oleh undang-undang menyebabkan golongan itu tidak mampu memperjuangkan hak mereka.

“Masyarakat juga perlu lebih peka tentang hak OKU serta cara untuk memberi sokongan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kekurangan kemudahan awam mesra OKU dan pengangkutan awam yang tidak inklusif menjadi halangan utama kepada mobiliti mereka.

Bagaimanapun Rozbizah berkata terdapat pelbagai usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan untuk memperkasa golongan OKU termasuk meningkatkan aksesibiliti di tempat awam seperti menyediakan kemudahan tempat letak kereta, tempat duduk mesra OKU dalam pengangkutan awam serta sistem penglihatan dan bunyi untuk membantu mereka yang cacat penglihatan dan pendengaran.

“Program-program latihan kemahiran, pengembangan kerjaya serta sokongan pembiayaan oleh pihak berkaitan kepada OKU turut dilaksanakan agar dapat meningkatkan kebolehan mereka dalam mencari pekerjaan dan menjadi usahawan,” katanya.

Rozbizah berkata usaha memperkasakan golongan itu memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat untuk memberi peluang yang sama kepada OKU.

“Dengan dasar yang tepat, pendidikan yang inklusif dan sokongan daripada semua pihak, golongan OKU bukan sahaja dapat memperkasa diri mereka, tetapi juga menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor, memberi sumbangan besar kepada negara,” katanya.

Source :
BERNAMA