Malaysia catat 19.62 juta serangan berasaskan web pada separuh pertama 2024 – Kaspersky

Yeo berkata, penjenayah siber di rantau ini semakin maju, menggunakan serangan yang dipacu AI serta peralatan dan teknik lain. – Gambar hiasan/Freepik

KUALA LUMPUR: Perniagaan dan organisasi di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara berdepan ancaman berasaskan web, melibatkan 19.62 juta serangan pada separuh pertama 2024, menurut syarikat keselamatan siber Kaspersky.

Kaspersky dalam kenyataan pada Rabu berkata ini diikuti oleh Indonesia yang mengalami 3.2 juta ancaman berkenaan.

Vietnam dan Thailand berada dalam kedudukan lebih rendah di peringkat serantau, dengan merekodkan serangan web, masing-masing sebanyak 1.45 juta dan 1.06 juta manakala Filipina berjumlah 846,837 dan Singapura sebanyak 574,292.

Pada separuh pertama 2024, Kaspersky telah mengesan dan menyekat lebih 26 juta ancaman web daripada penyelesaian keselamatannya bagi perniagaan di rantau ini dengan purata 146,944 serangan web setiap hari.

Pengurus Besar Kaspersky bagi Asia Tenggara Yeo Siang Tiong berkata, berikutan perniagaan dan kerajaan di rantau ini yang terus memanfaatkan digitalisasi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, kebergantungan yang semakin tinggi kepada platform digital meningkatkan lagi sasaran serangan terhadap mereka.

“Ini mendorong kepada lebih banyak peluang untuk penjenayah siber mengeksploitasi kerentanan dalam sistem yang tidak dilindungi, yang boleh menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan, institusi kewangan dan infrastruktur kritikal seperti penjagaan kesihatan dan tenaga,” katanya.

Beliau menekankan bahawa insiden sedemikian boleh menjejaskan produktiviti, menyebabkan kerugian kewangan, dan mengurangkan keyakinan terhadap sistem digital.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan untuk perniagaan tempatan sentiasa mengekalkan langkah berwaspada, mengutamakan dan mengukuhkan pendirian keselamatan siber masing-masing walaupun kerajaan meningkatkan tumpuan terhadap peraturan dan undang-undang mandatori bagi melindungi data dan menguatkuasakan kebertanggungjawapan dalam insiden keselamatan siber.

Yeo berkata, ini berikutan penjenayah siber di rantau ini semakin maju, menggunakan serangan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta peralatan dan teknik lain.

Oleh itu, beliau menggesa perniagaan untuk melabur dalam peralatan keselamatan siber yang mantap seperti perlindungan titik akhir, tembok api (firewall) dan pemantauan dan pengurusan peristiwa masa nyata.

“Penilaian dan audit keselamatan yang kerap perlu dijalankan untuk mengenal pasti kelemahan dan menangani kerentanan,” kata Yeo.

Kaspersky turut menyarankan perniagaan supaya mengukuhkan perlindungan keselamatan siber, antaranya memastikan perisian dikemas kini di semua peranti bagi mengelakkan penyerang daripada mengeksploitasi kerentanan yang boleh menembusi rangkaian organisasi dan membuat salinan data secara berkala.

Ia turut menyarankan penubuhan pusat operasi keselamatan (SOC) menggunakan SIEM (maklumat keselamatan dan pengurusan acara) untuk mempertahankan daripada ancaman siber yang canggih.

“Sekiranya syarikat anda tidak mempunyai fungsi keselamatan teknologi maklumat (IT) khusus, melanggan perkhidmatan terurus boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan dengan serta-merta di samping membolehkan anda menumpukan untuk mewujudkan kepakaran dalaman.

“Bagi perniagaan kecil, gunakan penyelesaian yang bertujuan membantu anda menguruskan keselamatan siber walaupun tanpa pentadbir IT,” kata Kaspersky.

Source :
BERNAMA