KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen hari ini akan dibahas Khamis depan di Dewan Rakyat.
Perkembangan itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagaimanapun, beliau berkata perbahasan berhubung laporan RCI berkenaan bergantung kepada Aturan Urusan Mesyuarat pada hari terbabit.
“Laporan RCI yang telah dikemukakan di Parlimen dijangka dibahaskan 12 Disember ini, tertakluk kepada Aturan Urusan Mesyuarat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu BH melaporkan laporan RCI setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Ia termasuk syor iaitu siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu diserahkan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.