DUN Sabah dijangka bubar Ogos tahun depan

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka hanya dibubarkan pada Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Ruddy Awah berkata jangkaan itu selaras tempoh DUN Sabah Ke-16 sekarang yang akan tamat pada Oktober tahun depan.

Katanya, DUN Sabah tidak mungkin dibubarkan sebelum 31 Disember ini atau awal tahun depan walaupun ada tekanan terhadap kerajaan negeri untuk mengawalkan PRN17.

“DUN tidak akan dibubarkan pada tahun ini kerana tempoh DUN sekarang adalah sehingga Oktober tahun depan.

“Jadi, jangkaan untuk DUN dibubarkan pada Ogos tahun depan adalah masuk akal dan sesuai,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Karamunsing, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas ditanya mengenai bila kemungkinan PRN17 Sabah diadakan lebih awal.

Ruddy berkata GRS sudah mula membincangkan persiapan menghadapi PRN17 dan dijangka menggandakan persediaan ke arah itu bermula Januari ini.

Mengenai kerusi bakal ditandinginya, beliau berkata akan mempertahankan DUN Pitas yang dimenanginya ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bebas dengan majoriti 559 selepas mendapat 2,918 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan tiga calon parti lain.

Ruddy kemudian menyertai GRS dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya yakin rakyat Pitas akan terus memberi sokongan kepada saya untuk kemenangan GRS pada PRN17 nanti.

“Saya tidak takut berdepan dengan parti lawan sama ada BN, Warisan atau siapa saja. Malah saya minta mereka perkuatkan jentera untuk bersaing dengan saya pada PRN17 nanti di Pitas,” katanya.

Ruddy turut memberi amaran akan menyaman individu mengaitkan namanya dengan dakwaan skandal rasuah ADUN Sabah yang disifatkannya dijadikan bahan untuk menghentam kerajaan negeri.

Beliau merujuk hantaran di laman sosial Facebook dan TikTok yang menuduh beliau bersama ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan isu tanah.

“Saya difitnah, kononnya saya dan dua rakan saya, (Abdul Ghani dan James) melakukan rasuah dan pecah amanah membabitkan isu tanah sedangkan saya tidak pernah bercerita pasal tanah dengan Abdul Ghani atau James.

“Jadi, saya terkejut apabila diri saya dan dua rakan ini, nama kami dikaitkan dengan beberapa video viral membabitkan ADUN lain yang ditularkan sebelum ini. Tiada video membabitkan kami,” katanya.

Ruddy mengakui tidak pernah bertemu dengan individu yang menemubual ADUN dalam video tular yang disebarkan melalui sebuah portal berita sebelum ini, namun nama beliau cuba dikaitkan melalui fitnah yang disebarkan di media sosial.

“Ini saja cara mereka (pihak lawan). Saya tidak puas hati dan saya wakilkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pitas untuk membuat laporan polis berhubung tuduhan fitnah itu kelmarin

“Jadi, saya minta polis siasat siapa pemilik akaun Facebook dan TikTok yang menuduh saya itu supaya saya boleh bawa ke muka pengadilan nanti,” katanya.