ISTANBUL: Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad bersama keluarganya tiba di Moscow, semalam selepas Russia menawarkan suaka kepada mereka, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita negara Russia.
Bashar dan ahli keluarganya tiba di Moscow. Atas pertimbangan kemanusiaan, Russia telah memberikan suaka kepada mereka.
Russia sentiasa menyokong penyelesaian politik bagi krisis Syria.
Kami menegaskan bahawa rundingan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu disambung semula, kata TASS yang memetik sumber Kremlin.
Pegawai Russia sedang berhubung dengan wakil pembangkang bersenjata Syria, dengan pemimpinnya memberi jaminan keselamatan kepada pangkalan tentera serta misi diplomatik Russia di wilayah Syria.
Pergolakan kembali tercetus pada 27 November lalu di kawasan luar bandar barat Aleppo, sebuah bandar utama di utara Syria.
Dalam tempoh 10 hari, pasukan pembangkang melancarkan serangan dengan menawan beberapa bandar strategik sebelum berjaya menguasai ibu negara Damsyik, semalam dan menyebabkan kejatuhan rejim Assad selepas 13 tahun perang saudara. – BERNAMA-AA