Lelaki dikehendaki polis, miliki 24 rekod jenayah maut ditembak

Pasir Puteh: Individu dikehendaki yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau mati ditembak polis selepas berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu, 5.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek, 31, yang bekerja sebagai penarik kereta memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.

Katanya, sebelum kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan mengadakan operasi cegah jenayah dan mengesansuspek menaiki Proton Bezza.

“Polis mengejar suspek dari Melor namun suspek memecut kenderaan dan diekori sehingga ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus menembak ke arah anggota polis,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha mempertahankan diri pihak polis melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan dilakukan di dalam kereta suspek menemui pistol semi auto, pistol tiruan, parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata, mayat suspek dihantar ke HospitalTengku Anis Pasir Puteh untuk dibedah siasat.

Source :