Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini berikutan terdapat sesetengah menara yang menjadi mangsa vandalisme dan juga terlibat dengan bencana banjir. – Foto BERNAMA
SEGAMAT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan diminta untuk meneliti semula reka bentuk tapak menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), bagi mengatasi masalah banjir dan vandalisme.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini berikutan terdapat sesetengah menara yang menjadi mangsa vandalisme dan juga terlibat dengan bencana banjir.
“Sekiranya kita dapati perlu ditambah baik, maka saya akan minta tapak-tapak ini terutama yang kerap mengalami vandalisme…mesti ada sebab (sering menjadi mangsa vandalisme), sebabnya antara lain reka bentuk, sekiranya ada kesilapan pemilihan bahan dan rekaan tapak tersebut, saya meminta MCMC segera mengarahkan syarikat-syarikat berkenaan yang merupakan pelesen yang memegang lesen MCMC, mereka perlu bantu untuk menambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak menara telekomunikasi JENDELA Kampung Sungai Lenek, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ialah pemasangan pagar anti-climb dan kawad duri di tempat strategik, bagi mengelakkan pencerobohan tapak menara.
Fahmi berkata pembinaan platform bagi meletakkan kotak elektrik di tapak menara bagi kawasan yang dilanda banjir juga perlu diteliti MCMC.
Beliau berkata perbuatan vandalisme di kawasan tapak menara boleh diklasifikasikan sebagai satu jenayah, malahan pihak yang mengalami kerugian boleh mengambil langkah sivil terhadap mereka yang terlibat melakukan kerosakan.