Detik penentu kejuaraan Liverpool, City

LONDON: Liverpool melayan kunjungan Manchester City bagi detik penentuan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Jurgen Klopp dan Pep Guardiola menggulung perseteruan mereka di peringkat tertinggi malam Ahad ini.

Arsenal yang berpesta gol akhir-akhir ini boleh menghuni tangga teratas buat sekurang-kurangnya 24 jam apabila mereka menerima kunjungan Brentford manakala Aston Villa berdepan Tottenham dalam pertembungan getir bagi penamat kelompok empat teratas.

Bos City, Guardiola berdepan sekurang-kurangnya satu malam tanpa lena ketika beliau cuba menangani masalah dicetuskan musuh utamanya Klopp.

Pengumuman mengejut Klopp beliau akan meletak jawatan sebagai pengurus Liverpool hujung musim ini mencetus nilai tambah bagi pertembungan penting menentang City di Anfield malam Ahad ini.

Sekalipun Guardiola menang lima daripada enam kejuaraan terakhir EPL, Klopp kekal menjadi duri dalam daging buat pasukannya, dengan kejayaan Liverpool merangkul kejuaraan pada 2020 satu-satunya kegagalan dalam pemerintahan dinasti City.

Pep Guardiola bergantung harap kepada mesin pencetak golnya Erling Haaland (kiri) untuk mengecewakan Liverpool di Anfield. – Foto AFP
Pep Guardiola bergantung harap kepada mesin pencetak golnya Erling Haaland (kiri) untuk mengecewakan Liverpool di Anfield. – Foto AFP

Guardiola mendedahkan rasa hormatnya yang mendalam terhadap Klopp apabila beliau mengakui pemergian warga Jerman itu akan memudahkan buatnya untuk bertenang sebelum pertembungan dengan Liverpool.

“Saya akan tidur lebih lena. Perlawanan menentang Liverpool hampir semuanya satu mimpi ngeri,” kata Guardiola, pasukannya menghuni tangga kedua satu mata di belakang Liverpool dengan berbaki 11 perlawanan.

Walaupun Klopp dan Guardiola turut berdepan antara satu sama lain ketika masing-masing bersama Borussia Dortmund dan Bayern Munich, pertembungan mereka dalam EPL melonjakkan persaingan mereka ke satu tahap lebih tinggi.

Kedua-duanya bertemu 15 kali dalam EPL sejak 2016, dengan Klopp meraih empat kemenangan manakala Guardiola lima kali.

Bagaimanapun, mengalahkan Liverpool di Anfield di depan penyokong mereka satu daripada pencapaian yang masih belum dipenuhi Guardiola sebagai bos City.

Manchester City membenam Liverpool 4-1 di Anfield pada Februari 2021 ketika bermain tanpa penonton disebabkan COVID-19. – Foto premierleague.com
Manchester City membenam Liverpool 4-1 di Anfield pada Februari 2021 ketika bermain tanpa penonton disebabkan COVID-19. – Foto premierleague.com

Satu-satunya kemenangan juara Inggeris itu di gelanggang Liverpool sejak 2003 hadir ketika beraksi tanpa penonton tiga tahun lalu susulan pandemik COVID-19.

Dengan begitu banyak menjadi pertaruhan hujung minggu ini, Guardiola pasti gelisah dalam kain selimutnya minggu ini ketika beliau merencana satu lagi detik yang tidak boleh dilupakan dalam usaha mengecewakan Klopp.

Sementara itu, Declan Rice memberi amaran kepada Arsenal mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lagi dalam pemburuan kejuaraan pertama EPL sejak 2004.

Selepas mengakhiri 2023 dengan kekalahan memilukan di tangan West Ham dan Fulham, anak buah Mikel Arteta bertindak balas dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam liga.

Sheffield United dibelasah 6-0 di Bramall Lane Isnin lalu, melonjakkan pasukan Arteta ke tangga ketiga dua mata di belakang Liverpool.

Declan Rice (tengah) sedar Arsenal tidak boleh melakukan kesilapan lagi jika mahu bergelar juara EPL. – Foto X Arsenal
Declan Rice (tengah) sedar Arsenal tidak boleh melakukan kesilapan lagi jika mahu bergelar juara EPL. – Foto X Arsenal

Dengan Liverpool dan City bertembung Ahad ini, Arsenal boleh mendahului secara sementara jika mereka mengalahkan Brentford di Stadium Emirates 24 jam terdahulu.

“Ia satu kebangkitan menakjubkan sejak tempoh Krismas, apabila kami tumpas dua perlawanan berturut-turut,” kata pemain tengah Arsenal itu.

“Tetapi ia adalah Liga Perdana, anda perlu berjuang setiap satu perlawanan. Anda tidak boleh keciciran mata lagi.

“Jika anda lihat dua pasukan teratas, mereka tidak kelihatan seperti akan terkucil dalam masa terdekat.” – AFP

Kredit: Berita Harian