Mangsa, pekerja asing warga Bangladesh, ketika diselamatkan anggota bomba. – Foto JBPM
KULIM: Seorang pekerja kilang patah kaki dan bahu selepas terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di sebuah kilang, di Kulim Hi Tech, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam sebelum mengarahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puat Ghazali tiba di lokasi bersama tujuh anggota.
“Selain itu, operasi turut dibantu dua anggota dari BBP Kulim.
“Setibanya di lokasi, didapati pekerja asing warga Bangladesh berusia 25 tahun itu masih berada di dalam tangki berkenaan dipercayai terjatuh.
“Mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan bahu. Tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari tangki itu menggunakan “rope resque” dan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.