Kebakaran membabitkan sembilan kilang kelas B, dengan api marak menyebabkan kemusnahan 100 peratus. – Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Sejumlah sembilan kilang musnah dalam kebakaran di Jalan Industri 5, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.38 petang, pada Isnin.
“Seramai 54 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara, BBP Rawang, BBP Selayang, BBP Batu Arang, BBP Sungai Pinang dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sembilan kilang kelas B, dengan api marak menyebabkan kemusnahan 100 peratus.
“Usaha memadamkan kebakaran dijalankan sebelum api berjaya dikawal pada 7.40 malam dan api hanya berjaya dipadamkan jam 4.16 pagi, pada Selasa,” katanya dalam kenyataan.
Wan Md Razali berkata, tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.