HONG KONG: Qatar akan meneruskan misi kelayakan Piala Dunia dengan menentang Kuwait esok – enam minggu selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Asia di laman sendiri.
Marquez Lopez, yang membimbing Qatar mempertahankan kejuaraan berkenaan bulan lalu, diberikan kontrak sehingga tahun 2026 selepas mengambil alih pasukan daripada Carlos Queiroz pada Disember.
Tidak banyak perubahan dalam skuad Qatar, kecuali kaptennya, Hassan Al-Haydos akan meninggalkan pasukan selepas mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
Kapten berusia 33 tahun itu menerajui pasukan ketika memenangi Piala Asia 2019 dan bulan lalu, serta ketika kekecewaan di Piala Dunia 2022 sebagai tuan rumah.
Lopez mewarisi skuad yang mendahului saingan Kumpulan A pada enam mata selepas kemenangan ke atas Afghanistan dan India, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat kelayakan seterusnya.
Lapan negara Asia dijamin untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia dengan pasukan kesembilan akan mengharungi aksi play-off antara benua.
Qatar menganjurkan Piala Dunia 2022 tetapi tidak pernah layak ke pusingan akhir, dengan Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran dan Arab Saudi mewakili Asia pada edisi terakhir.
Esok, Jepun akan berdepan Korea Utara di Tokyo sebelum bertandang ke Pyongyang pada Selasa.
Jepun mendahului Kumpulan B dengan mata penuh selepas dua perlawanan, manakala Korea Utara dan Syria pada tiga mata.
Korea Selatan yang diterajui Son Heung-min, mendahului Kumpulan C pada enam mata, dengan Thailand dan China di belakang pada tiga mata.
Iran dan Uzbekistan masing-masing mengumpul empat mata di tangga teratas Kumpulan E, manakala Australia mendahului Kumpulan I pada enam mata.
Pendahulu Kumpulan G, Arab Saudi akan bertemu Tajikistan. – REUTERS