Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, pelajar yang dipukul sehingga mati di asrama sebuah kolej di Lahad Datu. – Foto ihsan PDRM
LAHAD DATU: Keluarga pelajar yang meninggal dunia dipercayai dibelasah rakan asrama, di sini, semalam enggan mengeluarkan apa-apa komen berhubung tragedi yang menimpa mangsa.
Ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu, hari ini, salah seorang ahli keluarga mangsa meminta diberikan ruang dan enggan diganggu.
“Buat masa ini kami tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Harap maklum,” katanya ringkas kepada media, hari ini.
Ahli keluarga mangsa dilihat masih terkejut dan sukar menahan kesedihan atas tragedi yang berlaku terhadap pelajar terbabit.
Semalam, mangsa Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.
Mangsa pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dengan program Bioteknologi adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.
Katanya, seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.