Sabah destinasi percutian tawar harga berpatutan – Joniston

Sabah merekodkan kedatangan 2.6 juta pelancong pada 2023 yang melebihi sasaran 2.2 juta dengan 1.75 juta adalah pelancong domestik dan 858,475 pelancong luar. – Gambar hiasan/BERNAMA

KOTA KINABALU: Pelancong dari Semenanjung boleh memilih Sabah sebagai destinasi percutian kerana ia menawarkan harga berpatutan susulan peningkatan perbelanjaan perjalanan ke luar negara.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata mereka bukan hanya dapat meneroka destinasi baharu malah berpeluang mendalami budaya tempatan selain memupuk perpaduan dan pemahaman lebih mendalam dalam kalangan rakyat negara ini.

“Dengan memilih mengunjungi Sabah, ia sama seperti ke luar negara kerana anda akan menyeberangi Laut China Selatan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah itu berkata peralihan dalam pemilihan tempat percutian berkenaan akan membantu pertumbuhan pelancongan domestik dan ini selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya kerajaan negeri untuk memacu ekonomi Sabah.

Joniston berkata Sabah merekodkan kedatangan 2.6 juta pelancong pada 2023 yang melebihi sasaran 2.2 juta dengan 1.75 juta adalah pelancong domestik dan 858,475 pelancong luar sekali gus menjana pendapatan sebanyak RM5.5 bilion.

Beliau berkata statistik Lembaga Pelancongan Sabah menunjukkan negeri itu telah menerima 300,990 pelancong domestik dan 231,237 pelancong asing bagi tempoh dua bulan pertama 2024.

Pelancong China mencatatkan jumlah tertinggi dengan 91,936 orang diikuti Korea Selatan (42,653) dan Brunei (36,066).

Source :
BERNAMA