Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai berhampiran Chalet Segantang Garam, Merbok, petang tadi. – Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai berhampiran Chalet Segantang Garam, Merbok, di sini petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Liang Ah Kaw, 70, berasal dari Pekan Lama Sungai Petani dan dikatakan seorang orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kaki palsu pada sebelah kiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata warga emas itu berjaya diselamatkan penduduk kampung dan dilaporkan berada dalam keadaan separa sedar.
“Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.13 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut melakukan pencarian di sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, saksi kemalangan, Mohd Fadzil Mahamud, 40, berkata ketika kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, dia berada di rumah yang terletak tidak jauh dari sungai tersebut.
“Seorang rakan memanggil saya untuk membantu menyelamatkan pemandu kereta yang terjatuh ke dalam sungai. Saya segera terjun ke dalam sungai dan dua lagi rakan berada di tepi tebing.
“Ketika itu kereta dipandu mangsa hampir tenggelam dan mangsa tidak sedarkan diri menyebabkan kami bertindak memotong tali pinggang keledar yang dipakainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya mangsa kemudian berjaya ditarik ke tebing dan ketika itu mereka menyedari bahawa lelaki itu memakai kaki palsu.
“Kami bertiga bergilir-gilir menekan dada warga emas tersebut bagi memberikan rawatan awal…kira-kira lima minit kemudian dia mula sedar, muntah dan banyak air keluar dari hidung serta mulut.
“Beberapa penduduk kampung bertindak menghubungi talian kecemasan dan mangsa dibawa ke hospital,” katanya menambah kereta dipandu mangsa mungkin terbabas ketika melalui selekoh di kawasan tersebut sebelum terjunam ke dalam sungai.
kreadit : Astro Awani