BAITULMAQDIS: Kabinet perang Israel bermesyuarat hari ini untuk mengatur tindakan selepas pasukan keselamatan mereka yang berunding mengenai pembebasan tebusan dan gencatan senjata di Gaza pulang dari Paris, Perancis.
Penasihat keselamatan negara, Tzachi Hanegbi, berkata sebelum mesyuarat secara panggilan telefon itu, anggota akan mendengar maklumat terkini mengenai konflik di Semenanjung Gaza, yang kini sudah memasuki bulan kelima.
Rundingan Paris diadakan antara ketua perkhidmatan perisikan luar negara Israel, Mossad dan ketua perkhidmatan keselamatan domestik, Shin Bet serta pengantara dari Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar.
“Mungkin ada ruang untuk bergerak ke arah perjanjian,” kata Hanegbi kepada televisyen N12 News dalam satu temubual, tanpa mengulas lanjut.
Israel mahu pembebasan semua tebusan dalam serangan 7 Oktober, bermula dengan semua wanita, tetapi Hanegbi menegaskan, ‘perjanjian itu tidak menandakan perangakan berakhir’.
Beliau juga menyatakan, Israel tidak akan menerima sebarang perjanjian antara AS dan Arab Saudi untuk mengiktiraf negara Palestin yang merdeka.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat Kabinet itu membincangkan ‘langkah seterusnya dalam rundingan’, namun masih tetap dengan pendirian mahu menghapuskan Hamas sama sekali.
Beliau juga menegaskan itu adalah matlamat tenteranya ke Rafah di selatan Gaza, walaupun jelas kebimbangan mengenai kesan ke atas ratusan ribu orang awam yang kini berlindung di sana untuk mengelak pengeboman Israel.
Malah, seorang wartawan AFP di Rafah berkata, terdapat sekurang-kurangnya enam serangan udara di bandar itu pada petang semalam, ketika rundingan pembebasan tebusan dan gencatan senjata sedang berjalan di Paris.
Netanyahu sebelum ini menyifatkan tuntutan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza sebagai satu ‘khayalan’ dan berikrar untuk meneruskan kempen ketenteraan sehingga ‘kemenangan menyeluruh’ ke atas kumpulan pejuang itu.
“Hanya gabungan tekanan tentera dan rundingan tegas akan membawa kepada pembebasan tebusan kami, penghapusan Hamas dan pencapaian semua matlamat perang,” katanya.
Ketua tentera Israel, Herzi Halevi, yang melawat Semenanjung Gaza juga berkata, tindakan ketenteraan adalah cara paling berkesan untuk mendapatkan kembali tebusan.
“Kekuatan tentera menjadi kelebihan kita, tekanan yang perlu terus kami gunakan untuk membebaskan tebusan,” tambahnya kepada pasukan tentera. – AFP