Sejumlah minyak masak peket ditemui yang disimpan di dalam stor premis dan ruang kaunter sebuah premis di Kamunting, Perak, pada Rabu. – Gambar ihsan KPDN Perak
TAIPING: Enggan menjual minyak masak peket bersubsidi dan kononnya semua sudah habis dijual.
Itu perbuatan peniaga di sebuah premis di Kamunting, di sini yang akhirnya membawa kepada pembongkaran penyimpanan minyak masak masak tersebut di situ.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, pihaknya melaksanakan pemeriksaan itu pada Rabu, hasil maklumat orang awam.
“Pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping telah membuat uji beli melalui Ops Samar.
“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak peket habis dijual.
“Tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, pegawai dan penguat kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh.
“Hasilnya, sejumlah minyak masak peket ditemui yang disimpan di dalam stor premis dan ruang kaunter premis berkenaan,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, susulan penemuan itu, satu arahan pengisytiharaan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.
Selain itu, sebanyak 704 kilogram minyak masak peket yang ditemui disita bagi siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,760.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Masyarakat dan pengguna disaran menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan,” katanya lagi.