Belalang tepuk kepala selepas baca laporan ada peniaga jual sepinggan nasi sehingga RM3.50 sedangkan kos purata nasi kosong tidak sampai 50 sen pun. Adakah nasi dijual itu jenis beras basmathi gred tinggi. Jika ya sekali pun, adakah wajar itu harga ditetapkan untuk jualan kepada pelanggan.
Belalang lihat, isu harga makanan mahal ketika ini semakin melampau. Peniaga seperti tidak hairan dengan undang-undang melarang aktiviti pencatutan. Namun, yang menjadi persoalan di manakah pegawai penguat kuasa kita. Adakah hanya akan bertindak membuat pemantauan dan kompaun apabila rakyat bising serta viral di media sosial atau Perdana Menteri sound.
Menteri dan pegawai tertinggi kementerian berkaitan kena lebih proaktif menangani isu kenaikan harga barang dan makanan ini. Sudah lebih setahun Kerajaan Perpaduan berdiri, adakah Perdana Menteri seorang sahaja kena buat kerja untuk rakyat, tapi menteri lain duduk diam sahaja. Isu rakyat perlu diatasi segera, bukan dibiarkan berlarutan. Tolonglah.
Cetus kontroversi agama ancam kehidupan rakyat
Hairan bin ajaib sebenarnya di Malaysia ini kerana isu penghinaan agama, terutama Islam tidak pernah berhenti. Dulu negara pernah ‘panas’ dengan beberapa isu membabitkan agama Islam seperti mencerca azan, ada susunan lampu pada bangunan kediaman di Pulau Pinang tertera lambang salib, penggunaan kalimah Allah dan banyak lagi.
Terbaharu, penjualan stoking tertera kalimah Allah. Betapa tidak sensitifnya peniaga yang menjualnya. Belalang bukan hendak hangatkan lagi isu ini sebab PDRM pun sudah selesai siasat kes berkaitan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk putuskan tindakan selanjutnya.
Cuma Belalang pelik, mengapa masih ada bangsa Malaysia yang masih tidak tahu menghormati sensitiviti agama di negara ini. Adakah memang betul-betul tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pun murka dan hairan dengan rakyat yang sudah lama hidup dalam negara majmuk, tetapi masih berlaku kesilapan isu agama dan kaum.
Belalang sangat berharap, perkara kontroversi seperti isu stoking dapat dinoktahkan terus. Hormatilah sensitiviti agama dan kaum serta jangan ulangi lagi. Ia tidak berfaedah malah bahaya kepada keselamatan kita semua.