MADRID: Pemain Brazil, Lucas Paqueta menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk meraih keputusan seri 3-3 dengan Sepanyol pada aksi persahabatan antarabangsa yang tegang di Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Tuan rumah menguasai permainan pada awal aksi dengan pemain remaja Lamine Yamal dan Nico Williams menjadi duri dalam daging buat lawan mereka di bahagian sayap.
Yamal yang berusia 16 tahun meraih sepakan penalti yang dipertikaikan buat Sepanyol pada minit ke-12 apabila dia jatuh selepas dibentes Joao Gomes susulan satu permainan individu mengagumkan di sayap kanan.
Ulang tayang menunjukkan terdapat sentuhan yang minimum tetapi pengadil mengarahkan penalti dan tiada VAR beroperasi untuk menyemak keputusan itu.
Kapten Sepanyol, Rodri merembat masuk menerusi penalti untuk meletakkan tuan rumah di depan sebelum Dani Olmo menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-36, memperdaya dua pertahanan Brazil sebelum menyumbat masuk.
Bagaimanapun, Rodrygo merapatkan jurang sebelum rehat selepas kesilapan penjaga gol Unai Simon dan pemain remaja Endrick tampil dari bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan susulan sepakan sudut empat minit selepas rehat.
Sepanyol kembali di depan pada minit ke-86 berikutan satu lagi keputusan pengadil yang dipertikaikan yang mencetus kemarahan di bangku simpanan pelawat, dengan pegawai keselamatan stadium terpaksa campur tangan meleraikan keadaan.
Pengadil dari Portugal, Antonio Nobre menghadiahkan penalti susulan terjahan oleh Lucas Beraldo ke atas Dani Carvajal dalam kotak penalti dan Rodri merembat masuk ke tengah gol.
Namun Brazil berjaya menyamakan kedudukan lima minit dalam masa kecederaan apabila Galeno dikasari dalam kotak penalti dan Paqueta menyempurnakan sepakan penalti itu.
“Kami sering mahu menang,” kata Endrick kepada stesen televisyen Brazil, Globo.
“Kami adalah Brazil dan kami sering kali mahu menang, bagi menghormati legasi kami.
“Kami tidaklah berjanji kami akan menang setiap perlawanan, tetapi kami tidak akan mengurangkan usaha, keazaman, semangat, kami tidak akan kekurangan segala-galanya.” – REUTERS