KUALA LUMPUR: Aspek kecergasan dianggap menjadi pemusnah utama Harimau Malaya ketika tewas dua kali berturut-turut kepada Oman dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Sebelum perlawanan pertama menentang Oman, Jumaat lalu lagi banyak pihak termasuk ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sudah menyatakan kebimbangan mengenai masalah ‘match fitness’ atau kecergasan perlawanan yang membelenggu pemain negara susulan ketiadaan aksi kompetitif dan saingan Liga Malaysia (Liga M) belum bermula.
Kebimbangan itu menjadi kenyataan kerana berdasarkan dua perlawanan di Muscat dan Stadium Nasional, Bukit Jalil, jelas kelihatan betapa pemain negara kurang bermaya atau lemau hingga gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.
Persembahan yang ditampilkan dalam dua perlawanan itu tampak jauh berbeza dengan apa yang mereka sering sajikan sebelum ini terutama dari segi intensiti permainan dan semangat melawan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johan menyifatkan isu kecergasan pemain memberi kesan besar terhadap keseluruhan Harimau Malaya dalam dua pertembungan dengan Oman yang mana skuad negara tewas 0-2 dalam kedua-dua aksi itu.
Beliau berkata, pemain Harimau Malaya jelas kelihatan kekurangan ‘match fitness’ dalam pertembungan dengan Oman sambil menjelaskan anak buah Pan Gon gagal mencipta elemen kejutan yang seperti yang dilakukan dalam beberapa aksi sebelum ini.
“Memang nyata nampak sangat pemain kurang match fitness. Perkara itu tidak boleh kita dapat dalam waktu yang singkat, ia perlu dibuat berterusan disebabkan pemain berehat panjang. Aksi sebelum ini match fitness pemain bagus, mereka mampu bangkit walaupun setelah ketinggalan.
“Namun, dalam perlawanan dengan Oman, Harimau Malaya hanya mampu bertahan. Mereka tak berjaya bangkit atau melakukan elemen kejutan. Nampak ketara yang mana penyudah Harimau Malaya juga tumpul.
“Kita kurang kreatif dalam perlawanan dengan Oman, dari segi membentuk peluang untuk menjaringkan gol. Itu semua berkaitan dengan kecergasan. Kalau kercergasan bagus, keupayaan otak kita berfikir akan berbeza dan kepantasan kita berfikir juga dipengarungi dengan faktor kecergasan.
“Pemain tak boleh rehat terlalu lama. Malah, apabila kita rehat, kita kena fikir sama ada musuh kita bekerja atau turut berehat. Jadi kalau kita berehat, waktu itu lawan kita bekerja kuat, maksudnya mereka buat persiapan lebih rapi dan sebab itu apabila masuk gelanggang kita kalah,” katanya kepada BH Sukan.
Tahap kecergasan pemain Oman lebih baim berbanding Harimau Malaya kerana saingan liga di negara mereka masih berlangsung selepas kembali dari tugasan di Piala Asia 2023.
Harimau Malaya kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata dan menghuni dua kedudukan teratas.