KUALA LUMPUR – Alasan memasuki negara ini untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah Israel seperti yang diberikan lelaki warga Israel yang ditahan polis bersama enam pucuk pistol disifatkan untuk mengalih perhatian tujuan sebenar beliau.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bukan satu-satunya fakta yang boleh diterima pakai dengan mudah dalam konteks siasatan dan alasan itu boleh diangggap sebagai alasan propaganda.
“Pada masa ini, siasatan oleh PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ke atas lelaki Israel yang ditahan itu adalah menjurus ke arah semua sudut dan elemen yang boleh dikaitkan dengan keberadaan suspek dalam negara ini.
“Apapun, kita (PDRM) masih meneliti dan menyiasat apa motif sebenar suspek masuk ke negara ini dan mendapatkan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru serta faktor-faktor lain yang mungkin berkait dengan isu yang berlaku membabitkan Palestin dan Israel.
“Selain itu, dalam siasatan ini kita juga sedang meneliti pergerakan suspek sebelum dia diberkas, siapa orang hubungannya termasuk melihat latar belakang suspek dengan bantuan dan maklumat perisikan kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Razaruddin mengumumkan pihaknya menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu.
Pada sidang media itu, Ketua Polis Negara itu berkata, suspek berusia 36 tahun itu mendakwa dia mencari seorang penama warga Israel yang membabitkan isu keluarga untuk dibunuh namun beliau tidak mempercayainya.
Razarudin berkata, kini pihaknya memberikan tumpuan terhadap bukti dan fakta yang telah diperolehi selain mendapatkan maklumat-maklumat tambahan daripada siasatan yang dilakukan.
“Beri kita sedikit ruang untuk melengkapkan siasatan kami sebelum saya dapat berkongsi maklumat terbaharu siasatan kepada umum esok (Isnin),” ujarnya. – MalaysiaGazette