JAKARTA: Empat menteri Kabinet Indonesia hadir di Mahkamah Konstitusi hari ini bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes Pertikaian Hasil Pemilihan Umum (PHPU) Presiden dan Naib Presiden 2024.
Empat menteri berkenaan adalah Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati, Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy, Menteri Koordinator Bidang Ekonomi Airlangga Hartarto dan Menteri Sosial Tri Rismaharini.
“Agenda persidangan mahkamah pagi ini adalah untuk mendengar keterangan daripada empat kementerian tadi.
“Masing-masing dipersilakan memberi keterangan lebih kurang 20-25 minit sebelum para hakim bertanyakan soalan,” kata Ketua Mahkamah Konstitusi Hakim Suhartoyo.
Perbicaraan kes PHPU bermula 27 Mac dan mahkamah dijangka membacakan keputusan pada 22 April.
Di awal perbicaraan, dua pasangan calon yang kalah dan barisan peguam masing-masing di hadapan panel hakim mendakwa proses pemilihan, yang dimenangi Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka, dicemari pelanggaran dan penipuan.
Mahkamah diminta membatalkan keputusan, mengarahkan pengundian dijalankan semula dan langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan sumber negara dan bantuan sosial bagi memihak kepada mana-mana calon.
Pasukan undang-undang Prabowo-Gibran menolak semua dakwaan yang dianggap tidak berasas kerana berdasarkan andaian serta kekurangan bukti.
Prabowo-Gibran memperolehi 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi di Pemilihan Presiden dan Naib Presiden.
Pada 28 Mac, pasangan calon presiden dan naib presiden yang kalah, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD memohon agar mahkamah memanggil beberapa menteri.
Hakim Suhartoyo dan tujuh lagi hakim yang mendengar perbicaraan menolak permohonan itu pada Isnin, namun mesyuarat panel hakim pada Selasa memutuskan menteri perlu hadir untuk memberi keterangan. – BERNAMA