KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui gembira dengan prestasi tiga pemain tempatan baharunya selepas tiga perlawanan persahabatan sebelum ini.
Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, paling mencuri tumpuan ialah aksi dipamerkan dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid selain bekas tonggak tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan.
Kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu, walaupun baharu tiga aksi persahabatan, pemain baharu berkenaan sudah dapat menyesuaikan diri dengan taktikal dan rakan sepasukannya.
Akhyar yang kerap memanaskan bangku simpanan JDT pada musim lalu beraksi di posisi sayap kanan, Safawi di bahagian sayap kiri manakala Akram berperanan sebagai perancang.
“Apabila pemain sehebat Safawi dan Akhyar berada dalam pasukan, mudah buat mereka untuk menyesuaikan diri dan mengikut rentak permainan selain bersama rakan sepasukan.
“Inilah yang dikatakan kualiti individu yang ada pada mereka, begitu juga dengan Akram, kehadiran mereka pastinya akan memberikan impak yang positif sekali gus mampu memperkasakan lagi pasukan pada musim ini.
“Jadi dengan kehadiran tiga pemain itu ditambah dengan pemain sedia ada serta tonggak import, apa yang saya harapkan pencapaian pada musim ini lebih baik berbanding musim lalu,” katanya.