Menurut Cef Anas, dia tidak memiliki kelebihan dari segi kekayaan wang ringgit, namun, dikurniakan kemahiran memasak yang boleh ditawarkan kepada jemaah-jemaah haji Malaysia. – Foto Tabung Haji
MEKAH: Dia tinggalkan anak dan isteri di Perlis selain terpaksa tutup dan lupakan seketika bisnes kedai makan diusahakannya selama enam tahun.
Dia kini berada di Mekah dan memilih untuk memasak juadah yang akan disajikan kepada 31,600 jemaah haji di Tanah Suci pada tahun ini.
Dia ialah Cef Anas Ahmad, 35, yang merupakan ketua tukang masak di Dapur Al-Wafa, salah satu dapur daripada enam dapur di Mekah yang dikhaskan untuk menyediakan makanan bagi diedarkan kepada jemaah haji pada musim 1445H/2024M
“Saya tiada wang banyak untuk diberikan. Tetapi saya ada kemahiran memasak yang boleh saya tawarkan.
“Saya anggap jemaah ialah VIP yang perlu dilayan dengan sebaiknya. Itu yang membawa saya sekali lagi pada tahun ini,” kata Cef Anas, bapa kepada tiga anak lelaki ini, menjawab pertanyaan petugas media mengenai apa yang menyebabkannya memilih menjadi cef di Tanah Suci.
Kongsinya, tahun lepas, tugasnya di Dapur Al-Wafa sebagai tukang masak.
“Tetapi tahun ini, Alhamdulillah, tanggungjawab lebih besar, jadi ketua tukang masak, ada beberapa pembantu untuk menyediakan juadah kepada jemaah,” katanya menjalankan perniagaan sendiri di Perlis.
Wartawan Astro AWANI, Azlinariah Abdullah (tengah) bergambar kenangan dengan Cef Anas (kiri) dan pembantunya.
Sebagai pengorbanan untuk menjadi tukang masak di Mekah, Cef Anas terpaksa menutup kedai makannya, Ayam Golek dan Hidangan Western memandangkan tiada sesiapa boleh menguruskanya sepanjang ketiadaannya.
Cef Anas ditemui di Dapur Al-Wafa selepas memberi taklimat kepada Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M yang juga Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mengakui kesukaran memenuhi cita rasa jemaah Malaysia di Tanah Suci, sebagai satu cabaran, Cef Anas menyifatkan itu semua tanggungjawab yang mesti dipikul dengan sebaiknya.
Dia turut berkongsi bagaimana pengalaman menyediakan makanan kepada jemaah di Arafah dan Mina semasa Masyair.
“Walaupun hanya tiga hari, tetapi kesukarannya bukan terbatas kepada memasak, menyedia dan mengedar makanan semata-mata, tetapi berterusan sehingga jemaah selesai menikmati makanan tersebut.
“Begitu lama kami tukang masak menyedia dan menyaji makanan, cabarannya ialah jika jemaah suka atau tidak dengan hidangan itu. Satu suap sahaja jemaah akan menyebut sama ada ia sedap, tidak enak atau kurang di sana sini. Itulah cabaran yang sebenar,” jelas Cef Anas.
Namun, di sebalik cabaran itu, dia tidak menolak untuk datang lagi, terus memasak buat jemaah jika diberi rezeki tahun depan.
“Apa salahnya, saya akan memohon, jika ada rezeki Allah beri, saya akan datang lagi, itu sudah pasti,” katanya.
Cef Anas juga memberi pesanan jika ada cef dari Malaysia yang mahu menjadi sepertinya.
Kata Cef Anas: “Boleh datang ke Mekah, memasak untuk jemaah, ia satu pengalaman yang berguna. Tetapi datanglah dengan penuh keikhlasan dan pentingkan jemaah. Itu sahaja.”