KUALA LUMPUR: Bekas kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi merayu pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melepaskan kelab itu kepada pihak lain jika benar-benar sudah tidak mampu menguruskan The Red Warriors (TRW).
Mohd Badhri yang lebih dikenali sebagai Piya menjelaskan, ia mungkin jalan terbaik dalam menaikkan semula pasukan Kelantan yang sebelum ini menjadi pasukan digeruni termasuk pernah memenangi kejuaraan ‘treble’ pada 2012.
Piya berkata, Norizam harus menerima hakikat sekiranya perlu menanggung kerugian jika terpaksa menjual Kelantan FC dengan harga murah berdasarkan masalah yang dihadapi TRW terutama kes tunggakan gaji.
“Saya sebagai rakyat Kelantan dan bekas pemain memang kecewa. Apabila jadi sampai tahap ini, macam tertutup terus. Kesian pemain yang ada kualiti dan pasukan Kelantan yang sebelum ini digeruni sudah hilang.
“Nak pegang pasukan kena fikir panjang, jangan ambil mudah. Urus pasukan bola sepak ini bukan untung, mesti ada rugi. Kecuali buat dengan cara yang bagus, pasukan akan naik.
“Saya yakin seluruh rakyat Kelantan nak tengok TRW naik semula dan mana-mana pihak atau individu yang sayangkan bola sepak Kelantan, tolonglah ambil balik.
“Kita merayu dan minta jasa baik Norizam, kalau sudah tak boleh atau tak mampu, lepas kepada orang lain. Saya berasa ada orang yang nak ambil alih, cuma nak dia (Norizam) betul-betul lepaskan pasukan,” katanya kepada BH Sukan.
Kelantan FC tiada dalam kancah bola sepak Malaysia musim ini apabila kelab itu menarik diri dari saingan separuh profesional, Liga A1 selepas disingkir dari Liga Super kerana tidak mendapat lesen kebangsaan.
Norizam yang juga Presiden TRW Kelantan FC dalam kenyataan, Jumaat lalu mengesahkan penarikan diri pasukan itu dari Liga A1 dan akan fokus menyelesaikan beberapa masalah termasuk kes di FIFA sebelum kembali menyertai liga bola sepak pada masa akan datang.
Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (FAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi catatan di Facebook miliknya turut meluahkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa TRW.
Annuar yang menjadi pencetus zaman kebangkitan gemilang bola sepak Kelantan turut berpendapat TRW harus bertukar milik bagi melakukan perubahan dan menyelamatkan pasukan itu dari terkubur.
“Saya terbaca berita TRW tidak menyertai liga musim ini. Setahu saya keengganan ini bererti TRW bakal hilang hak untuk bermain di liga masa akan datang dan perlu memohon semula seperti pasukan yang baru di wujudkan. Ia tidak automatik.
“Jika demikian, saya amat sedih dan kesal dengan situasi ini. Mematikan memang mudah, nak memajukan perlu bertahun lamanya.
“Dalam situasi begini apakah boleh diserahkan semula TRW kepada KAFA dengan satu nilai ‘token’ sahaja? Dengan demikian TRW boleh diambil alih oleh pihak lain yang boleh dan mampu memulakan ‘plan merekayasa’ pasukan dan tidak terkubur,” katanya.