KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren MRT Laluan Putrajaya yang mengalami gangguan akibat masalah sistem komunikasi telah pulih pada 9.48 malam tadi.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan malam ini memaklumkan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya mengalami kelewatan jadual perkhidmatan bermula 7.22 malam tadi akibat gangguan sistem persemboyanan.
“Kerja-kerja rektifikasi terperinci akan dijalankan oleh pasukan teknikal selepas tamat waktu operasi pada malam ini.
“Pihak Rapid Rail sebagai pihak operator memandang serius akan gangguan ini yang telah menjejaskan pengguna perkhidmatan laluan MRT terbaharu dalam rangkaian relnya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu Rapid Rail bekerjasama dengan pihak MRT Corp selaku pemilik aset serta pihak kontraktor dan pembekal sistem berkenaan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.
Rapid Rail turut memaklumkan perkhidmatan bas perantara percuma dari Stesen Chan Sow Lin hingga ke Stesen Putrajaya Sentral masih disediakan sebagai pilihan alternatif penumpang untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Anggota Polis Bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform dan kawasan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan semua penumpang,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA