SEORANG penuntut institut pendidikan tinggi awam (IPTA) mati lemas di sebuah kolam ikan di Campsite Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, Felda Chemplak, Labis, Segamat, Johor pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada pukul 11.12 pagi.
“Mangsa berusia 23 tahun tiba di tapak perkhemahan tersebut bersama 16 orang lagi rakan sekuliah pada pukul 6 petang hari sebelumnya untuk menyiapkan tugasan kursus Pemasaran Digital di kawasan rekreasi dengan mempromosikan lokasi kejadian.
Kenyataan polis Segamat berhubung insiden terbabit. — Facebook/Polis Daerah Segamat
“Mangsa sepatutnya meninggalkan kawasan tersebut pada pukul 9 pagi. Bagaimanapun, dia bertindak untuk mandi di sebuah kolam yang dijadikan kolam ternakan ikan oleh pemilik tapak perkhemahan bersama empat orang lagi rakan pada pukul 10.30 pagi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.
Ujarnya, mangsa kemudian disedari lemas dan tenggelam oleh rakan-rakannya 30 minit kemudian, namun berjaya dijumpai semula selepas 15 minit kemudian.
“Pasukan penyelamat cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11.40 pagi oleh Penolong Pengawai Perubatan Klinik Kesihatan Labis yang turut bertindak ke lokasi.
“Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat. Pihak polis akan meneruskan siasatan kejadian lemas tersebut melalui Siasatan Kematian Mengejut (SDR),” katanya. — Majoriti