Kuala Lumpur: “Saya kecewa kerana dari pekarangan kaki lima masjid sudah nampak kelibat sekumpulan pelacur mencari pelanggan.” Itu luahan pekerja tetap Masjid Jamek Alam Shah di Jalan Tun Razak, Pudu di sini.
Mior Mohd Zain Mior Ali, 70, yang sudah bekerja selama 40 tahun di masjid itu mengatakan keadaan demikian berlaku sekian lamanya dan paling aktif pada tahun 1970-an.
“Saya mula bekerja di masjid ini sejak tahun 1984 dan pada waktu itu sebelum saya mula bekerja memang sudah nampak pelacur berkeliaran mencari pelanggan di kaki lima rumah kedai berhadapan masjid.
“Keadaan ini serius sehingga saya ditawarkan oleh pelacur serendah RM30 apabila saya berjalan menuju ke sebuah bank di bangunan hadapan masjid.
“Malahan ada pekerja wanita bank mengadu kepada saya bahawa apabila mereka berjalan di sekitar kawasan itu mereka juga dianggap sebagai pelacur kerana pakaian dan dandanan yang dikenakan,” katanya.
Mior Mohd Zain berkata, keadaan itu mencemarkan pemandangan masjid kerana apabila keluar saja dari dewan masjid akan kelihatan pelacur mencari pelanggan.
Menurutnya, keadaan itu berlarutan terutama pada waktu malam iaitu antara jam 11 sehingga 12 tengah malam.
Sementara, Imam Masjid Jamek Alam Shah, Mohd Hanif Syakir Mohd Yusuf, 30, berkata, perlakuan sumbang yang berlaku di sekitar masjid berusia 74 tahun ini bukan satu situasi yang baru dan pihak masjid menyedari perkara berkenaan.
“Masalah sosial yang berlaku di kawasan ini dilihat daripada dua kumpulan iaitu daripada wanita dan juga golongan mak nyah.
“Banyak juga aktiviti pencegahan dilakukan oleh pihak berkuasa, tetapi mereka kembali lagi selepas kurang sebulan operasi dilakukan,” katanya.
Menurutnya, pihak masjid tidak dapat melakukan tindakan yang serius kerana yang lebih berautoriti ialah pihak berkuasa.
Namun, menurutnya, pihak masjid sangat terbuka dan berlapang dada jika terdapat pihak yang ingin bekerjasama dalam membanteras isu yang sekian lama terjadi ini.
“Pihak masjid cuba membantu apa yang kami mampu seperti memasang papan tanda pencegahan perkara mungkar di luar masjid,” katanya.