KUALA LUMPUR – Polis memburu empat individu bersenjata api yang disyaki menyamun sebuah kedai emas di pusat beli belah Plaza Metro, Kajang, Selangor hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan insiden tersebut pada jam 3.30 petang.
Katanya, siasatan di lokasi mendapati kejadian berlaku pada jam lebih kurang 3.17 petang melibatkan empat lelaki yang memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap dengan senjata api memasuki kedai emas yang terletak di tingkat bangunan tersebut.
“Suspek kemudian terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan barang emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.
“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan pusat beli belah tersebut,” katanya keitka dihubungi, malam ini.
Menurut Mohd Zaid, anggaran jumlah kerugian masih disiasat dan pihaknya masih menjalankan siasatan ke atas rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di dalam bangunan tersebut.
“Pada masa yang sama, polis juga mendapatkan keterangan beberapa orang saksi kejadian itu bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette