SPRM tahan dalang ‘pasport terbang’

KOTA KINABALU: Tiga penjawat awam direman enam hari berhubung siasatan sindiket ‘pasport terbang’ yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam.

Perintah reman bermula esok hingga 24 Julai itu dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali ketika ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah berkenaan, pagi tadi.

Permohonan reman dibuat Pegawai Penyiasat SPRM Sabah, Muzzammil Iqmal Mohd Markhaza dengan dibantu Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom.

Dua daripada suspek masing-masing diwakili peguam Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan James, manakala seorang lagi belum diwakili peguam.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang bertugas sebagai penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan, ditahan SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu, petang semalam.

Penahanan suspek dibuat selepas risikan SPRM selama sebulan berkaitan sindiket pemalsuan pasport atau ‘pasport terbang’.

Menurut sumber, risikan itu membongkar kegiatan sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan rasuah kira-kira RM300,000 diterima penguat kuasa terbabit.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu dikatakan menerima habuan kira-kira RM3,000 daripada setiap pemohon.

Sindiket dipercayai sempat mengurus ‘pasport terbang’ untuk 100 pemohon dengan memalsukan tandatangan dan memanipulasi cap jari pemohon tanpa kehadiran mereka sebelum menyerahkan pasport yang sudah siap kepada orang tengah.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu semalam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.