K: Diedarkan secara tidak sengaja selepas gula-gula diberikan orang awam tidak bernama
WELLINGTON: Bungkusan makanan yang disediakan oleh badan amal New Zealand didapati mengandungi gula-gula nanas yang dicampur dengan syabu yang boleh membawa maut.
Polis berkata, badan amal itu, Auckland City Mission memberi amaran selepas mereka mendapati sejumlah gula-gula itu tercemar dengan dadah terlarang yang boleh mengakibatkan ketagihan.
“Siasatan sedang dijalankan dan ini menjadi keutamaan polis kerana risiko terhadap orang ramai,” katanya.
Yayasan Dadah New Zealand berkata, sampel ujian sekeping gula-gula putih yang dibungkus dalam bungkusan kuning terang menunjukkan itu syabu.
Jurucakapnya, Sarah Helm berkata, manisan itu sudah diuji dan mengandungi kira-kira tiga gram methamphetamine, iaitu 300 kali ganda daripada dos biasa yang diambil penagih dadah.
“Sesorang yang menelan banyak syabu sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan maut,” katanya.
Helm menggesa orang ramai yang menerima bungkusan kuih-muih daripada badan amal Auckland agar tidak memakannya.
“Kami tidak tahu jumlah penerima yang sudah mendapat makanan yang diagihkan,” katanya.
Kata badan amal itu, gula-gula dalam bungkusan berjenama tertutup itu disumbangkan oleh orang awam.
Gula-gula itu diuji selepas seseorang berasa pelik selepas memakannya dan menyedari ada rasa pahit.
Yayasan dadah itu memberi peringatan, syabu boleh menyebabkan sesak nafas, jantung berdegup kencang, sawan, mengigau dan pengsan. – AFP