KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berumur enam tahun cedera di kepala akibat terjatuh ke longkang sedalam 4.57 meter, berhampiran Apartmen River Dale di Bukit Antarabangsa, Ampang, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.34 malam.
“Komander Operasi melaporkan kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia enam tahun terjatuh ke dalam longkang.
“Kerja penyelamatan berjaya dilakukan, dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan lanjut.