IPOH: Seorang lelaki ditemui maut dalam sebuah kereta yang berkunci di sebuah rumah di Taman Rapat Indah di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki terkunci di dalam kenderaan Perodua Myvi. Mangsa dipercayai membakar arang di dalam kereta berkenaan.
“Anggota bomba bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas. Mangsa diberi rawatan awal oleh pihak petugas kesihatan yang berada di tempat kejadian namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.13 pagi. – BERNAMA