Op Global: Seorang lagi pembantu pengajar dituduh amang seksual

SEREMBAN: Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah yang disiasat menerusi Op Global dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas enam pertuduhan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun, pada 2023.

Tertuduh, Muhammad Fauzun Azim Ismail, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun dengan sentuhan fizikal secara seksual.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) akta sama.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun dengan membuatkan dan menyuruh kanak-kanak itu membuat sentuhan fizikal ke atas tertuduh secara seksual bagi maksud seksual.

Semua kesalahan dilakukan di kawasan madrasah berkenaan di Kuala Pilah, sekitar dan dalam tahun 2023.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni tidak menawarkan sebarang jaminan, namun jika mahkamah mempertimbangkan untuk memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadang jumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin diringankan kerana baru sahaja menyambung pengajian di sebuah pusat kemahiran Ogos lalu, namun gagal mengemukakan bukti.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan penjamin perlu memastikan tertuduh boleh dihubungi pada bila-bila masa serta memastikan kehadirannya kelak.

Sebutan semula pada 30 Oktober depan.