Fadhlina berbangga dengan pencapaian peserta program berkenaan dan yakin kejayaan diperoleh terhasil daripada kesungguhan diri sendiri serta kepercayaan tenaga pengajar terhadap mereka. – Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: “Dapat duit banyak macam mana pun, kaya macam mana pun, pelajaran tetap nombor satu”.
Demikian nasihat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada peserta program PERMATA Remaja ketika merasmikan Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di sini, pada Rabu.
Nasihat itu susulan kejayaan sebahagian besar peserta remaja yang berjaya berdikari seterusnya menjana pendapatan sendiri sehingga lebih RM2,500 sebulan hasil daripada kemahiran yang diasah melalui program keusahawanan.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berbangga dengan pencapaian peserta program berkenaan dan yakin kejayaan diperoleh terhasil daripada kesungguhan diri sendiri serta kepercayaan tenaga pengajar terhadap mereka.
“Saya ingin mengucap tahniah kepada anak-anak yang telah melanjutkan pelajaran dan mendapat keputusan yang baik dan saya percaya bahawa program ini adalah platform yang terbaik buat mereka.
“Saya mahu terus dengar suara-suara vokal yang baik daripada kursus vokal, saya mahu terus tengok bakat dari segi jurusolek, pengubahan bunga dan juga dari segi usahawan untuk menghasilkan banyak barangan yang baik,” katanya lagi.
Program PERMATA Remaja kendalian Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaksanakan sejak 14 tahun lalu bagi membantu golongan remaja B40 memenuhi keperluan mereka, khususnya dalam aspek pendidikan dan pengasahan bakat serta kemahiran dalam pelbagai bidang.
Sepanjang inisitiaf itu dilaksanakan, seramai 8,396 remaja di kawasan PPR sekitar Kuala Lumpur disantuni dan 20 peratus daripada mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT), manakala 75 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan.
Sementara itu, Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja pula merupakan acara tahunan yang diadakan untuk mengumpul semua peserta program PERMATA Remaja agar mereka dapat mempersembahkan hasil kreatif dan bakat yang diperoleh sewaktu mengikuti kelas kemahiran bersama program berkenaan.
Antara kelas kemahiran yang dianjurkan termasuklah kelas kek dan pastri, fotografi, vokal dan muzik, kecantikan dan lencana butang.