KUALA LUMPUR – Keadaan pendidikan di negara ini semakin menyedihkan apabila isu buka atau tutup kantin sekolah pun berhari-hari hendak dibincang.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia , Dr Anuar Ahmad berkata, serius sungguh isu ini dibincangkan.
“Tak cukup dengan berbeza pandangan, ada yang sampai kata-mengata, sindir menyindir. Bukan tahun ini sahaja, tahun lepas pun sama. Sampai habis bulan puasa tahun lepas, tiba pula puasa tahun ini, kita masih bincang lagi. Nak buka ke nak tutup kantin?
“Kecil sungguh akal budi kita. Sedangkan banyak lagi hal-hal pendidikan yang besar tak dibincangkan secara serius begitu,” katanya dalam tulisannya yang dikongsikan di laman Facebooknya.
Menurut beliau, isu kelas yang sudah melimpah ruah disebabkan terlalu ramai murid tidak pula dibincangkan secara serius.
Sampaikan tiada pun perbincangan untuk mencari solusi jangka pendek untuk selesaikan isu kelas sesak kerana penyelesaian jangka panjang memang sudah tahu – ‘kita akan bina sekolah baru’.
Padahal kelas yang sesak menyebabkan Pelaksanaan Pentaksiran Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) yang menjadi ‘nadi pendidikan’ akan teruk terjejas.
“Bagaimana anak-anak kita akan belajar dengan selesa dan kondusif kalau mereka disumbat dalam kelas 50 orang murid? Anda kena lihat sendiri untuk rasa empati dan ehsan pada keadaan anak-anak ini di dalam kelas yang sesak ini.
“Bagaimana guru-guru dapat mengajar dengan selesa dan berkesan dalam kelas yang sesak dengan 50 orang murid? Bagaimana anak-anak kita akan mahir 3M dan bermotivasi untuk belajar dengan aktif dan gembira kalau pembelajaran mereka sejak tahun satu lagi sudah tidak berkesan sebab kelas sesak dengan murid-murid?
“Bayangkan pula kesan jangka panjang terhadap kemahiran 3M dan pencapaian pembelajaran anak-anak kita akibatnya kelas yang sesak ini?,” kata beliau.
Katanya, tujuan utama ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah adalah untuk belajar, dan sudah tentu tempatnya kenalah selesa dan kondusif.