Seorang lelaki duduk di atas dataran pasir luas dan panjang akibat Sungai Tembeling yang mengering kerana cuaca panas. – NSTP/AMIR HAMZAH NORDIN
JERANTUT: Cuaca panas dan kering berterusan mengakibatkan Sungai Tembeling menyusut sehingga membentuk beting pasir luas seakan-akan sebuah padang bola sepak di kawasan Ulu Tembeling dekat sini.
Penduduk Kampung Seberang Bantal di Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 45, berkata beting pasir muncul selepas kemarau bermula awal bulan ini dan semakin ketara dengan keluasan terkini mencecah kira-kira 200 meter panjang dan 100 meter lebar.
“Kejadian ini sebenarnya bukan pelik bagi penduduk kampung, namun tahun ini keadaan kemarau sangat berbeza sehinggakan kawasan berpasir itu lebih luas dan memanjang.
“Jika bukan disebabkan Ramadan, sudah tentu ramai kanak-kanak dan remaja turun bermain bola sepak dan berlarian di atas pasir pada sebelah petang,” katanya.
Jamizan berkata, meskipun Sungai Tembeling mengering, ia masih digenangi air dengan sesetengah lokasi terlalu cetek sehingga boleh berjalan kaki untuk ke Seberang.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zaimi Ali, 59, percaya jika kemarau terus berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, kemungkinan Sungai Tembeling akan kering menyebabkan permukaan beting pasir timbul dengan meluas, sekali gus menyebabkan aktiviti sungai tergendala termasuk perjalanan bot penambang.
Difahamkan, kemunculan beting pasir turut dilapor berlaku di Kampung Sungai Pesagi di Chenor akibat paras air Sungai Pahang menyusut.
Menurut info Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jerantut diramal mengalami musim kering mulai antara 30 Mac hingga 5 April dengan kadar purata suhu antara 24 hingga 34 Celsius.