3 syor Galen Centre tangani krisis penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR: Malaysia dianggap berada dalam krisis penyakit tidak berjangkit (NCD) susulan penemuan membimbangkan yang mendapati lebih dua juta rakyat hidup dengan tiga jenis penyakit tidak berjangkit (NCD), iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.

Menurut firma penyelidikan kesihatan dan dasar awam, The Galen Centre for Health and Social Policy (Galen Centre), hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 meletakkan rakyat Malaysia kini hidup di tengah-tengah krisis NCD.

Ketua Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, berkata laporan NHSM 2023 yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis lalu, berkata Malaysia kini mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara tertinggi di dunia.

Ketua Eksekutif The Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib
Ketua Eksekutif The Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib

Pasifik Barat satu daripada enam zon dalam senarai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangkumi 37 negara dari Mongolia di Asia Tengah ke Timur hingga Kepulauan Pitcairn di Lautan Pasifik dan selatan ke New Zealand.

“Lebih dua juta rakyat hidup dengan tiga jenis NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi. Setengah juta lagi hidup dengan empat NCD, termasuk obesiti.

“Malaysia kini mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat dan salah satu tertinggi di dunia yang memerlukan (kos perubatan keseluruhan) sekitar RM 3.1 bilion setiap tahun.

“Dijangkakan tujuh juta penduduk dewasa Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas akan mengalami pradiabetes atau menghidap diabetes menjelang tahun depan.

“Ramai antara mereka tidak akan menjalani saringan dan tidak tahu status diabetes mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

NHMS diperkenalkan pada 1986 dengan kitaran tinjauan setiap 10 tahun sebelum dipendekkan kepada setiap empat tahun bermula 2011. Ia bertujuan mengumpul data dan maklumat NCD dan faktor risikonya selain permintaan jagaan kesihatan.

Bagi NHMS 2023: NCD dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia, tinjauan mendapati lebih setengah juta atau 2.5 peratus dewasa di Malaysia menghidap empat jenis NCD, manakala hampir 2.3 juta menghidap tiga jenis NCD.

Laporan itu memperincikan kira-kira 7.5 juta atau 33.3 peratus rakyat Malaysia menghidap kolesterol tinggi, diikuti 6.7 juta atau 29.2 peratus penghidap tekanan darah tinggi dan 3.6 juta atau 15.6 peratus mempunyai penyakit kencing manis.

Ketika pengumuman Khamis lalu, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, penemuan itu amat membimbangkan kerana NCD yang tidak didiagnosis dalam kalangan umur lebih muda akan memberi komplikasi kesihatan yang lebih cepat pada golongan terbabit.

NHMS 2023 juga mendapati trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa menunjukkan peningkatan berterusan, melonjak hampir 10 peratus dalam tempoh satu dekad daripada 44.5 peratus pada 2011 kepada 54.4 peratus pada 2023.

Antara faktor utama menyumbang peningkatan kes adalah pengambilan gula secara berlebihan. Kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti berisiko tinggi menyebabkan penyakit jantung dan angin ahmar atau strok.

Sehubungan itu, Azrul berkata, Galen Centre mengesyorkan tiga langkah segera diambil kerajaan bagi menangani isu pengambilan gula berlebihan, premis makanan beroperasi 24 jam dan tabiat merokok.

“Kami alu-alukan gesaan Menteri Kesihatan agar tindakan segera diambil dalam isu pengambilan gula untuk kurangkan masalah diabetes dalam kalangan rakyat. Namun, daripada memperkenal penggredan kandungan gula, kerajaan boleh lihat kaedah lebih baik dan segera.

“Kerajaan boleh mengeluarkan gula daripada senarai barangan yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kawalan harga gula faktor utama penggunaannya berlebihan dalam makanan.

“Harga gula kekal rendah dan bawah harga siling berikutan pembayaran insentif oleh kerajaan kepada industri. Malaysia yang bukan negara pengeluar gula menjadi antara negara menjual bahan itu pada harga paling murah sehingga mendorong pengambilan lebih tinggi,” katanya.

Katanya, subsidi disalurkan kerajaan dianggarkan antara RM500 hingga RM600 juta setiap tahun untuk industri gula, bertentangan dengan usaha untuk menangani pengambilan berlebihan bahan itu.

“Tidak masuk akal untuk ‘berperang’ lawan pengambilan gula, tetapi pada masa sama, beri subsidi dan insentif, ini harus dihentikan. Kos (merawat) diabetes lebih RM3 bilion setiap tahun dan penyakit kardio-renal-metabolik lain seperti penyakit buah pinggang,” katanya.

Syor kedua, katanya, Galen Centre menyarankan kerajaan melarang premis makanan beroperasi 24 jam walaupun cadangan itu ditentang hebat sebelum ini.

“Semua pihak harus menerima hakikat budaya pengambilan makanan di negara ini sebenarnya memudaratkan, terutama membabitkan pengambilan makanan berkalori tinggi pada waktu malam seperti nasi kandar, mi goreng dan sebagainya.

“Burger misalnya, kajian menunjukkan pengambilan makanan ini pada waktu malam membawa kepada peningkatan berat badan dua kali ganda atau lebih 500 kalori setiap hari bagi mereka yang mengehadkan pengambilan makanan pada waktu siang.

“Digabung dengan gaya hidup tidak aktif, tidak begitu mengejutkan apabila sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk kita alami obesiti atau bakal ada obesiti. Kos rawatan dan perubatan penyakit kardiovaskular menelan berbilion ringgit setiap tahun,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbang untuk meningkatkan kadar duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau yang kekal tidak berubah sejak 2015, selain termasuk mengehadkan nikotin ‘vape’ kepada dua peratus.

“Ini seiring dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) nanti. Kadar cukai eksais dicadangkan ialah 77 sen sebatang atau 61 peratus cukai eksais harga runcit. Ini boleh jana hasil tambahan RM771.8 juta untuk kerajaan.

“Bersama jangkaan cukai yang dikutip daripada nikotin ‘vape’, kedua-dua hasil akan menyumbang sekurang-kurangnya RM1.2 bilion,” katanya.