COVID-19: KKM pantau kemungkinan gelombang baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti trajektori gelombang baharu COVID-19 berikutan peningkatan dua kali ganda wabak berkenaan yang direkodkan di Singapura, sejak dua minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.

“KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura.

“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes COVID-19 di Singapura,” katanya menerusi satu hantaran di X, hari ini.

Dr Dzulkefly memberi penjelasan terbabit sebagai respons kepada pertanyaan seorang pengguna X yang bertanya sama ada Malaysia bersedia untuk berdepan gelombang baharu COVID-19, sebagaimana yang sedang melanda Singapura.

Pengguna terbabit meninggalkan komen dalam satu hantaran infografik menunjukkan peningkatan kes di Singapura bagi tempoh 5 hingga 11 Mei dengan jumlah kes baharu melonjak kepada 25,900.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, di Malaysia, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus.

Source :